Wednesday, February 19, 2014

Aku. Almari. Topeng.


Aku seorang insan yang memang cerewet lagi memilih. Kalau 10 benda aku pandang, 9 benda pasti tidak kena di pandangan mata aku. Bukan mudah untuk memuaskan hati aku. Namun begitu, yang hanya 1 benda  yang aku berkenan itulah akan aku jaga aku timang aku sayang aku setia hingga hujung nyawa. 

Mengapa?

Kerana bukan senang untuk aku menerima sesuatu benda, Aku kan seorang yang suka memilih lagi cerewet. Jadi jika aku telah memilih sesuatu benda itu, maknanya itu adalah yang terbaik di pandangan mata hati jiwa aku. Walaupun setelah aku memilih benda itu sebagai peneman aku untuk menjalani kehidupan, lalu ternyata nampak campingnya terserlah ciri-ciri yang aku kurang berkenan, aku tetap tidak akan membuang benda itu dan akan sentiasa memujuk hati untuk lebih terbuka dalam menerima kecampingan benda itu. Aku akan tetap menyayangi dan menghargai benda itu walau aku akan merungut jua sekali sekala. Oh mungkin lima kali lima kala. Tapi aku tidak akan sesekali mencampak, membuang dan mencari pengganti lain. 

Aku seorang yang setia. Mana mungkin aku mampu berselingkuh. Aku hanya menukar sesuatu barang yang baru hanya selepas barang tersebut tiada lagi di hadapan mata aku. Untuk aku menggantikan benda itu ia mungkin memakan masa bertahun. Kerana aku kan seorang yang cerewet lagi memilih. Bukan mudah untuk aku menerima mana-mana benda lain begitu sahaja. Jika boleh aku mahukan sesuatu yang serupa! sama seperti yang dulu. Tapi mana mungkin.

Ya. Itu adalah aku yang sebenar. Orang yang terdekat dengan aku akan memahami jiwa aku. Jika aku telah memilih sesuatu benda itu, ia bagaikan satu penghormatan kepada benda tersebut kerana bukan calang-calang benda boleh berdamping dengan ku dan mendapat kasih sayang tanpa sempadan dari ku. Aku ikhlas.

Aku rasa yang sebenarnya mungkin......

kerana aku adalah seorang yang mengamalkan dasar tertutup atau di dalam Bahasa Shakespeare di sebut "introvert". Mungkin ini adalah punca utama aku bersikap sedemikian. Aku bukan seorang yang punya ramai pendamping. Aku tidak pandai mengolah kata menggarap ayat dan menyuarakan sesuatu yang tiada makna. Maksud aku, aku tidak pandai berbahasa basi dengan sesiapa. Kadang-kadang aku risau untuk meramas mesra. Eh, beramah mesra. Ini kerana aku amat risau sekiranya kata-kata aku mungkin boleh menyinggungkan perasaan orang lain. Aku lebih suka diam dan memerhati dan menilai dan terus menilai orang-orang disekeliling aku. Aku hanya akan mudah mesra dan membuka ruang persahabatan kepada mereka yang aku rasakan boleh menerima jiwa aku. Kadang kala, erm atau mungkin kebanyakkan masa, aku bagaikan menyarung "topeng mesra" atau lebih mudah aku katakan aku tidak menjadi diri sendiri. Seperti yang aku nyatakan di atas, ini kerana aku risau akan penerimaan orang luar terhadap diri aku yang sebenar dan aku risau untuk menonjolkan siapa aku yang sebenar kerana pada pandangan bijaksana aku, bukan semua perkara mengenai kita boleh kita kongsikan dengan orang lain. 

 Sekian.


No comments: